PUTRAJAYA, 27 November - Pemimpin industri disaran terus memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik dan mengangkat halal sebagai standard global bagi meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap ekosistem halal negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, JAKIM sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pemain industri termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya dalam aspek rantaian bekalan halal negara.
Menurutnya, penyelarasan bersama amat penting bagi mengelakkan percanggahan kepentingan serta memastikan setiap pihak mendapat rujukan teknikal dan kepakaran yang tepat.
“Adakalanya timbul konflik atau percanggahan kepentingan. Sebab itu elok jika NGO memanfaatkan kepakaran JAKIM atau pengalaman industri yang sudah dipersijilkan halal untuk dikongsi bersama. Langkah ini boleh menarik lebih ramai pengamal dan pemilik industri untuk bersama mendapatkan pensijilan halal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Halal Global Al-Amin daripada Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) di Putrajaya.
Turut menerima penghargaan itu ialah Watsons Malaysia selaku pengedar, serta Kinohimitsu sebagai pengeluar jenama kecantikan dan kesihatan terkemuka di Asia Tenggara.
Pengiktirafan tersebut menampilkan kerjasama kukuh antara pengawal selia, peruncit dan pengeluar jenama dalam memacu kesejahteraan halal untuk rakyat Malaysia.
Anugerah disampaikan oleh Presiden WAWASANITA, Dr. Norli Alias.