PASIR MAS, 26 November - Situasi banjir di Kelantan tidak banyak berubah menjelang tengah malam.
Angka penduduk terjejas yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) hampir 11,000 orang.
Setakat pukul 11.00 malam, kemaskini Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, 66 PPS beroperasi menempatkan lebih 4,000 keluarga membabitkan sembilan jajahan.
Tumpat kekal tertinggi dengan merekodkan hampir 4,500 penduduk yang berlindung di 13 PPS.
Turut terjejas penduduk di Bachok, Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai Pasir Mas dan Gua Musang.
Sementara itu, dua sungai utama di negeri itu, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi berada pada tahap bahaya.
Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat 9.64 meter, manakala Sungai Galas di Limau Kasturi 60.54 meter.
Hujan lebat dilaporkan berlaku di sebelah hulu Kelantan termasuk Dabong, Kuala Krai.