fb fb fb fb fb

Penduduk di Gua Musang terkepung, paras air Sungai Galas melepasi bahaya

Banjir di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian di Gua Musang, Kelantan/RTM

GUA MUSANG, 26 November - Hampir 2,000 penduduk di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Serian di Gua Musang, Kelantan terkepung apabila paras air Sungai Galas melepasi paras bahaya dan menutup jalan keluar dan masuk perkampungan.

Penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas mengakui sudah lali dan penat apabila kawasan kediaman serta jalan perhubungan mereka dilanda banjir setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, polis terpaksa memujuk penduduk di Kampung Limau Kasturi untuk berpindah lebih awal kerana Sungai Galas berada pada paras bahaya.

"Saya sudah beritahu penduduk apabila bunyi siren kali ketiga atau keempat memang kena pindah. Bila kali keempat air dah tahap bahaya. Kita pergi dengan anggota polis maknanya kita beri nasihat dan minta pindah sebab takut berisiko," kata Aluwi.

Sementara itu, penduduk Kampung Limau Kasturi, Azizah Othman risau dengan situasi terkini.

"Nak ambil barang-barang yang kita tinggal. 31 tahun tinggal sini dan hadap banjir. Siren bunyi bila air naik tengah kuat tu, disuruh pindah kita ikut," katanya.

Seorang lagi penduduk, Harman Seman berkata, penduduk Serian sudah berpindah ke PPS Kampung Serian, Batu 11 dan 12.

"Lali dah dengan air besar. Memang penatlah nak hadap banjir. Kita bukan sahaja urus harta benda tapi tolong orang kampung," kata Harman.

Sementara itu, menerusi laman web rasmi Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, paras air Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi kini melebihi paras bahaya dengan catatan 60.40 meter melebihi paras normal 53.00.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ