fb fb fb fb fb

Tunku Temenggong Kedah cemar duli santuni mangsa kebakaran Putra Heights

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kepada Nur Nainie Najwa Mohmad Johar (kiri) pada program kunjungan mangsa insiden kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini hari ini / BERNAMA

SUBANG JAYA, 9 April- Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan mencemar duli melawat mangsa kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 10.48 pagi disambut oleh Naib Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Datuk Seri Suhaimi Yacob.

Baginda yang juga Pengerusi Kebangsaan BSMM meluangkan masa lebih sejam bersama mangsa, menyampaikan sumbangan pek makanan serta menzahirkan sokongan kepada mereka yang terkesan.

Menurut Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman, lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan BSMM dalam mendampingi komuniti yang terjejas akibat bencana, bukan hanya dari segi bantuan fizikal, tetapi juga aspek sokongan emosi dan pemulihan jangka panjang.

“Sejurus kejadian berlaku, pasukan tindak balas kecemasan BSMM telah digerakkan melibatkan lebih 30 sukarelawan terlatih dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

BSMM turut mengagihkan barangan bantuan asas termasuk pek makanan, kit kebersihan diri, tikar, dan selimut.

Pemeriksaan kesihatan asas turut dijalankan, khusus untuk warga emas dan kanak-kanak, manakala bantuan sokongan psikososial diberikan kepada individu yang mengalami tekanan emosi susulan kejadian tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE