Tribunal Pekerja Gig putuskan tiga pertikaian libat pemandu grabcar

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 7 November – Tribunal Pekerja Gig memutuskan tiga kes pertikaian membabitkan pemandu e-hailing dan GrabCar Sdn. Bhd., termasuk meluluskan pampasan RM2,000 kepada seorang pemandu, manakala tuntutan seorang lagi ditolak susulan tindakan penyahaktifan akaun secara kekal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tribunal mendapati mekanisme Auto Accept dan Fast Cancel melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025.
  • Platform gagal jelaskan syarat penggantungan tempahan, kuota pembatalan dan maklumat pendapatan kepada pemandu.
  • Tribunal utamakan keselamatan penumpang; tuntutan pemandu ditolak jika kesalahan terhadap penumpang dibuktikan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga kes berkenaan merangkumi pertikaian berkaitan tuntutan kewangan, pengendalian sistem platform digital serta tindakan penyahaktifan akaun pemandu.

“Kes pertama menyaksikan tribunal membenarkan sebahagian tuntutan kewangan seorang pemandu berkaitan pendapatan daripada tempahan ‘Saver’ serta insentif ‘Cashback and Advance Booking’.

“Tribunal turut memerintahkan GrabCar membayar ganti rugi RM2,000 berserta faedah lapan peratus setahun sehingga bayaran penuh diselesaikan.

“Keputusan itu dibuat selepas tribunal mendapati mekanisme ‘Auto Accept’ dan ‘Fast Cancel’ yang digunakan platform berkenaan tidak mematuhi Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872),” menurut kenyataan itu.

Peruntukan itu antara lain menjamin hak pekerja gig untuk memperoleh maklumat mengenai jenis perkhidmatan serta kadar pendapatan yang dipersetujui sebelum menerima sesuatu tugasan.

Bagi kes kedua, tribunal mengenal pasti tiga pelanggaran Akta 872 susulan aduan seorang pemandu berhubung pengurusan sistem dan operasi platform, khususnya berkaitan penggantungan sementara tempahan, kuota pembatalan serta penggunaan sistem ‘Auto Accept’.

“Kegagalan platform menjelaskan syarat dan tempoh penggantungan tempahan didapati bercanggah dengan Seksyen 8(1)(a) serta Seksyen 8(2)(a) dan (b) akta berkenaan.

“Tribunal turut mendapati maklumat mengenai penetapan kuota pembatalan, implikasi apabila kuota berkenaan habis serta pilihan pembatalan atas alasan munasabah tidak disampaikan dengan jelas kepada pemandu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, penggunaan sistem ‘Auto Accept’ yang membolehkan tempahan diterima sebelum pemandu mengetahui jenis perkhidmatan dan kadar pendapatan ditawarkan turut didapati melanggar peruntukan akta sama.

Susulan kedua-dua kes berkenaan, tribunal mengemukakan beberapa syor penambahbaikan kepada GrabCar di bawah Subseksyen 42(3) Akta 872.

Antaranya, memastikan maklumat mengenai perkhidmatan dan pendapatan dipaparkan sebelum tempahan diterima, selain menyediakan tempoh pembatalan yang munasabah dan selamat kepada pemandu.

“Platform itu juga disaran memperjelas syarat penggantungan tempahan, peraturan kuota pembatalan, program insentif serta sekatan tempahan.

“Penambahbaikan turut merangkumi akses lebih baik kepada khidmat bantuan platform dan penyediaan mekanisme semakan oleh manusia terhadap keputusan yang dibuat menerusi sistem automatik,” menurut kenyatan itu.

Sementara itu, bagi kes ketiga, tribunal memutuskan tindakan GrabCar menyahaktifkan akaun seorang pemandu secara kekal adalah berasas selepas tiga insiden salah laku terhadap penumpang dibuktikan.

“Kesalahan berkenaan termasuk perbualan tidak wajar, perlakuan yang boleh menimbulkan rasa terancam atau takut serta pertanyaan peribadi yang tidak sesuai.

“Tribunal berpandangan kepentingan keselamatan dan kesejahteraan penumpang perlu diutamakan meskipun tindakan penyahaktifan akaun itu memberi kesan terhadap sumber pendapatan pemandu berkenaan. Sehubungan itu, tuntutannya ditolak,” menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, keputusan berkenaan memperlihatkan pendekatan tribunal dalam mengimbangi perlindungan hak pekerja gig, keselamatan penumpang dan kepentingan pengendali platform e-hailing.

Kementerian itu menegaskan komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan Akta 872 melalui tribunal berkenaan sebagai saluran penyelesaian pertikaian yang bebas, adil dan berkesan, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem ekonomi gig yang lebih telus, mampan dan bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.