Elak pembelian panik, bekalan makanan mencukupi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

BUKIT KATIL, 7 November -Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat supaya meningkatkan pembelian atau membuat simpanan tambahan, memandangkan kedudukan bekalan semasa masih terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan barangan keperluan secara berlebihan.
  • Simpanan beras negara mencukupi sehingga enam bulan, manakala bekalan ikan mampu bertahan sehingga lapan bulan.
  • Kerajaan memantau bekalan makanan melalui kerjasama kementerian dan agensi serta akan mengambil langkah sewajarnya jika cuaca luar jangkaan.
  • Pelaksanaan Jualan Agro MADANI dan Semarak Tani diperhebatkan untuk bantu rakyat dapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan barangan keperluan secara berlebihan, memandangkan bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi.

Katanya, bekalan beras negara mempunyai simpanan sehingga enam bulan, manakala bekalan ikan pula mampu bertahan sehingga lapan bulan.

Kerajaan sentiasa memantau kedudukan bekalan makanan menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan rakyat terus terjamin.

“Ini merupakan sebahagian daripada persediaan dan ikhtiar yang kita lakukan. Sekiranya berlaku perubahan cuaca yang di luar jangkaan, kita akan mengambil langkah sewajarnya mengikut keadaan ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat untuk membuat stok simpanan makanan. Perdana Menteri juga semalam menegaskan bahawa langkah itu belum diperlukan dan orang ramai boleh meneruskan pembelian seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Himpunan Semarak Tani@Jualan Agro Madani Mega di Kolej Vokasional Melaka Tengah, di sini.

Terdahulu, media melaporkan terdapat laporan daripada Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyarankan pengguna menyediakan stok makanan dan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan program Jualan Agro MADANI dan Semarak Tani di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Usaha itu selaras dengan saranan Belanjawan yang dibentangkan pada Oktober lalu bagi memperluas pelaksanaan program berkenaan dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.