AGC tidak pertikai titah pengampunan Agong

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 7 November – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak sama sekali mempertikaikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu penentuan Mahkamah mengenai implikasi undang-undang Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International.
  • Persoalan turut menjejaskan tarikh permulaan hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad.
  • AGC menegaskan tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang bukan menggagalkan penguatkuasaan, menolak dakwaan melampaui bidang kuasa dan menghormati titah serta perintah mahkamah.

Sebaliknya, AGC menjelaskan, persoalan yang memerlukan penentuan Mahkamah adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu terhadap baki hukuman penjara Datuk Seri Najib dalam kes SRC International.

“Perkara itu turut mempunyai implikasi terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Persoalan berkenaan timbul susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Datuk Seri Najib pada 6 November, selain pengeluaran Perintah Pelepasan Selepas Pembayaran Denda oleh Mahkamah Tinggi pada tarikh sama.

“Perintah itu turut menyatakan Datuk Seri Najib perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat,” menurut kenyataan itu.

Tegasnya, langkah itu bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya memastikan tiada percanggahan dalam pelaksanaan perintah Mahkamah atau hukuman yang dilaksanakan secara tidak sah.

AGC turut menolak dakwaan bahawa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasa atau mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut AGC, mendapatkan penjelasan undang-undang melalui Mahkamah tidak bermaksud mempertikaikan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

AGC menegaskan pihaknya kekal komited menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, menghormati perintah Mahkamah serta memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah dan teratur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.