
KLANG, 7 November -Panglima Briged Kesebelas Infantri Markas 11 Briged Kem Sungai Buloh, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan @Asri Ismail mendahului senarai 19 penerima Darjah Kebesaran Kelas Kedua dan Ketiga sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.
- Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada lapan individu.
- Darjah Kebesaran Dato Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dikurniakan kepada enam penerima termasuk Pengarah JKR Negeri Shukri Ishak dan Datuk Seri Irmohizam.
- Istiadat di Balairung Seri Istana Alam Shah dihadiri Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Amir Shah, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan EXCO.
Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada lapan individu.
Antara penerima lain ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye, Ahmad Amiri Abu Bakar, Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said serta bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad serta Penasihat Undang-Undang Kumpulan YTL Corporation Berhad, Datin Seri Kathleen Chew Wai Lin dan Pengasas Grab Holdings Limited, Anthony Tan Ping Yeow.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) kepada enam penerima, termasuk Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Shukri Ishak.
Antara penerima lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Komander Kehormat Datuk Seri Dr l Irmohizam Ibrahim serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Sementara itu, dua individu menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor, manakala tiga lagi dikurniakan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, serta Raja Muda
Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz
Istiadat berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.