
KAPAR, 7 November – Banjir yang melanda Bukit Kapar, Klang menyebabkan kediaman penduduk dan Surau Riadhussolihin terjejas, dengan pelbagai barangan serta kemudahan rosak akibat limpahan air.
- Penduduk giat membersihkan kediaman, dibantu sukarelawan dan komuniti untuk mempercepatkan proses pemulihan.
- Kejadian dianggap paling buruk sejak 2021; air naik paras lutut menyebabkan banyak barang rumah rosak.
- Penduduk dan pengerusi surau berharap sistem perparitan diperdalamkan atau diperluas bagi kurangkan risiko banjir berulang.
- Surau Riadhussolihin rosak, karpet dan lantai terjejas manakala aktiviti surau dihentikan sementara untuk pembersihan.
Ketika penduduk masih giat membersihkan kediaman masing-masing, bantuan sukarelawan dan komuniti setempat turut digerakkan bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Bagi penduduk, kejadian banjir kali ini disifatkan paling buruk berbanding pengalaman ketika banjir pada 2021. Air yang naik sehingga paras lutut menyebabkan pelbagai barangan rumah termasuk tilam, mesin basuh, almari dan perabot rosak.
Penduduk berharap sistem perparitan di kawasan berkenaan dapat ditambah baik bagi memastikan aliran air lebih lancar dan mengurangkan risiko banjir berulang.
“Pakcik mula sedar air semakin naik selepas pulang dari solat. Ketika itu hujan masih lebat. Pakcik hanya mampu menunggu dan menyelamatkan apa yang termampu. Pakcik pun sudah tua dan tidak larat. Sebab itu pakcik ambil keputusan untuk berpindah ke rumah anak,” kata penduduk terjejas banjir S. Kumar Ahmad.
“Ini hari kedua kami melakukan kerja-kerja pembersihan. Air mula surut semalam, jadi kami bersihkan bahagian dalam rumah terlebih dahulu sebelum beralih ke kawasan luar. Saya berharap sistem perparitan di kawasan ini dapat ditambah baik, termasuk diperdalamkan atau diperluas supaya aliran air lebih lancar”, kata penduduk terjejas Muhammad Hakimi Nasrizan.
Selain kediaman, Surau Riadhussolihin turut mengalami kerosakan apabila limpahan air menjejaskan karpet dan lantai premis berkenaan.
Anggaran awal kerugian mencecah belasan ribu ringgit, manakala aktiviti surau terpaksa dihentikan sementara sehingga kerja pembersihan selesai.
“Saya berharap sistem perparitan di kawasan ini dapat diperdalamkan lagi kerana keadaan parit sedia ada masih cetek walaupun kerja-kerja pengorekan pernah dilakukan”, kata Pengerusi Surau Riadhussolihin Mohd Nor Ibrahim.
Bagi membantu meringankan beban mangsa, kira-kira 30 sukarelawan bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat turut turun padang melaksanakan kerja-kerja pembersihan.
Pasukan sukarelawan menyasarkan untuk membersihkan antara tiga hingga empat buah rumah sehari, bergantung kepada keadaan dan jumlah tenaga kerja.
“Ini hari ketiga operasi pembersihan dijalankan. Hari ini, kami meneruskan kerja-kerja membersihkan rumah penduduk. Tadi, kami turut ke masjid, namun kerja pembersihan belum dapat dilakukan sepenuhnya kerana perlu mengeluarkan karpet terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, selepas menerima maklumat mengenai seorang penduduk orang kurang upaya (OKU) yang baru pulih daripada strok, kami segera menggerakkan bantuan. Pasukan kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan, masing-masing menjalankan kerja pembersihan di kawasan berbeza”, kata Sukarelawan Mohamad Hambali Azraee.
Seramai 151 penduduk daripada 30 keluarga terjejas banjir di sekitar Bukit Kapar yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid At-Taqwa, Kapar yang dibuka sejak Khamis lalu, telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk pasca pembersihan.
Sementara itu, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi portal Info Bencana, dua PPS masih dibuka di Selangor iaitu di daerah Kuala Selangor yang masih menempatkan 3,798 penduduk daripada 128 keluarga setakat 2.40 petang tadi.
Ia melibatkan 2,999 penduduk daripada 67 keluarga di Sekolah Agama Batu 8 Ijok dan 779 penduduk daripada 61 keluarga di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang.