Negara kehilangan Tokoh Seni Dondang Sayang

Foto Facebook Melakafm

BERTAM ULU, 7 November -Negara kehilangan seorang Tokoh Seni Dondang Sayang, Datuk Mohd Baharim Mohd Sharip yang meninggal dunia malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah disembahyangkan di Masjid Bertam Ulu pukul 10.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu kira-kira 11.30.
  • Penggiat seni merasai kehilangan; beliau mendidik pemantun spontan, lemah lembut dan menggemari permainan biola.
  • Dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pemantun dan pencipta pantun dengan lebih 2,000 rangkap serta penerima WAKOH dan BOH Cameronian.

Perkara itu dimaklumkan anak Allahyarham, Junaidah Mohd Baharim.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Bertam Ulu pada pukul 10.30 pagi tadi, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu kira-kira pukul 11.30 pagi.

Pemergian beliau turut dirasai penggiat seni Dondang Sayang yang menganggap Allahyarham sebagai antara tokoh penting dalam usaha memartabatkan warisan
seni berkenaan.

“Beliaulah (Allahyarham) yang mendidik saya untuk berpantun secara spontan. Sebenarnya, minggu ini sudah beberapa kali saya menerima berita seperti ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya. Memang terasa sebak,” Penggiat seni, Yasser Fikri.

“Beliau (Allahyarham) seorang yang baik, lemah lembut dan sangat meminati permainan biola. Sukar untuk mencari golongan muda yang mempunyai minat mendalam terhadap alat muzik itu pada masa kini,” kata Setiausaha Persatuan Dondang Sayang Melaka, Zulkiflee Mohd Salleh.

“Saya melihat komitmen dan kesungguhan beliau (Allahyarham) dalam usaha mengangkat martabat seni Dondang Sayang Melaka, menerusi lagu, karya dan sumbangan yang dihasilkan. Saya berpendapat bukan mudah untuk mencari pengganti yang mempunyai komitmen serta dedikasi seperti beliau (Allahyarham) dalam Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka,” kata Bendahari Persatuan Dondang Sayang Melaka, Zulaili Ismail.

Allahyarham Datuk Mohd Baharim bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan pemuzik, malah sebagai pemantun serta pencipta pantun Dondang Sayang. Allahyarham juga menghasilkan koleksi lebih 2,000 rangkap pantun sepanjang penglibatannya dalam seni berkenaan.

Antara pengiktirafan diterima termasuk Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) dalam bidang Dondang Sayang, selain BOH Cameronian Lifetime Achievement Award.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.