Ilmu, adab perlu seiring dalam era AI – Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail / Foto BERNAMA

KANGAR, 7 November – Penguasaan ilmu dalam era kecerdasan buatan (AI) perlu seiring adab, akhlak serta prinsip kukuh bagi melahirkan graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang berintegriti dan bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ilmu membina keupayaan berfikir dan menyelesaikan masalah, adab mencerminkan nilai diri.
  • Pencapaian akademik bukan satu-satunya ukuran kejayaan; kejayaan juga dinilai dari manfaat kepada orang lain.
  • Graduan diseru memanfaatkan kepakaran untuk hasilkan idea dan penyelesaian memberi nilai kepada organisasi serta masyarakat.
  • Hadapi cabaran sebagai peluang belajar, perbaiki kelemahan, tingkatkan keupayaan dengan sabar, tabah dan tawakal tanpa menggadai prinsip.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ilmu membina keupayaan berfikir dan menyelesaikan masalah, manakala adab mencerminkan nilai diri seseorang.

Baginda yang juga Canselor UniSIRAJ turut mengingatkan graduan bahawa pencapaian akademik bukan satu-satunya ukuran kejayaan dalam kehidupan.

“Kejayaan bukan sekadar jawatan, pendapatan atau pencapaian peribadi, tetapi juga manfaat kepada orang lain,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ ke-9, di sini.

Sehubungan itu, graduan diseru memanfaatkan kepakaran untuk menghasilkan idea serta penyelesaian yang memberi nilai kepada organisasi dan masyarakat, di samping melaksanakan tanggungjawab kerjaya dengan amanah.

Dalam menempuh alam pekerjaan, baginda turut menasihatkan graduan supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran atau perubahan.

“Jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keupayaan.

“Hadapinya dengan sabar, tabah dan tawakal tanpa menggadaikan prinsip serta maruah diri,” titah baginda.

Seramai 277 graduan UniSIRAJ terlibat pada istiadat konvokesyen kali ini melibatkan Doktor Falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Pada istiadat itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Hadis dari Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Maryam Al Adzra Mohd Zawawi yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.