
KUALA LUMPUR, 7 November – Menjelang pelancaran perkhidmatan penumpang komersial yang disasarkan bermula pada 12 Disember ini, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) hari ini memulakan Program Operasi Percubaan bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
- Program Operasi Percubaan dijalankan 7 November hingga 2 Disember 2026, merangkumi Gombak ke Kota Bharu, termasuk perkhidmatan ekspres dan transit.
- Perjalanan percubaan membawa 170 penumpang, mengambil masa 88 minit antara Gombak dan KotaSAS, tren mencapai kelajuan sehingga 160 km/j.
- Operasi dikendalikan EOSB, usahasama 50:50 MRL dan CCCECRL, bertanggungjawab mengendalikan serta menyelenggara rangkaian ECRL.
Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan, perjalanan pertama di bawah Program Operasi Percubaan berlepas dari stesen Terminal Bersepadu Gombak tepat pada pukul 7.00 pagi hari ini dan tiba di stesen KotaSAS di Kuantan, Pahang pada pukul 8.28 pagi.
Perjalanan itu membawa 170 penumpang, mengambil masa hanya 88 minit, dengan tren mencapai kelajuan sehingga 160 km/j.
“Perjalanan ECRL antara Gombak dan Kuantan melalui beberapa jejambat dan terowong, termasuk Terowong Genting ECRL sepanjang 16.39 kilometer, merentasi kawasan berbukit antara Gombak, Selangor dan Bukit Tinggi, Pahang dalam masa 6 minit sahaja,” menurut kenyataan itu.
Tren Electric Multiple Unit (EMU) meneruskan perjalanan dari stesen KotaSAS pada pukul 9.33 pagi dan tiba di stesen Kuala Terengganu pada pukul 9.53 pagi.
Tren kemudiannya berlepas dari stesen Kuala Terengganu pada pukul 9.58 pagi sebelum menamatkan perjalanan di stesen Kota Bharu pada pukul 10.58 pagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata, ramai rakyat Malaysia menantikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ECRL.
“Manfaat perkhidmatan rel ini dapat dinikmati dalam perjalanan seharian mereka, sama ada untuk pulang bertemu keluarga, bagi tujuan pekerjaan atau pendidikan, mahupun untuk melakukan perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Dengan bermulanya operasi percubaan itu, tumpuan adalah untuk memastikan perkhidmatan ECRL bersedia menawarkan perjalanan yang selamat dan konsisten.
“Setiap perjalanan memberi kami peluang untuk menilai pengalaman penumpang serta persiapan operasi sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai,” jelasnya dalam kenyataan sama.
Fasa akhir persiapan operasi itu dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), sebuah Syarikat usaha sama 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL), yang bertanggungjawab mengendali serta menyelenggara rangkaian rel ECRL.
Program Operasi Percubaan ini bertujuan menilai kesiapsiagaan operasi, kecekapan erkhidmatan, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang dalam keadaan operasi sebenar.
Operasi percubaan akan berlangsung dari 7 November hingga 2 Disember 2026, meliputi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dan sebaliknya, serta merangkumi perkhidmatan ekspres dan transit.
Sepanjang Program Operasi Percubaan, tren EMU ECRL akan beroperasi mengikut jadual yang dirancang untuk perkhidmatan penumpang komersial, termasuk pengeluaran pas masuk dan penyediaan perkhidmatan kru kabin.
Pencapaian terbaharu ini menyusuli penyempurnaan peringkat-peringkat utama pengujian dan pentauliahan projek ECRL, termasuk System Integration Testing (SIT), serta penyempurnaan Fault-Free Run (FFR) pada 29 Oktober 2026.
Setakat bulan lalu, kemajuan pembinaan Fasa 1 ECRL yang merangkumi jajaran Kota Bharu–Gombak telah mencapai 98.47 peratus.
Bulan lalu, Jemaah Menteri telah meluluskan struktur tambang ECRL yang berpatutan dan mesra rakyat berasaskan mekanisme tambang dinamik, dengan tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125.
Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam, berbanding sekitar tujuh jam melalui jalan raya.
Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan perkhidmatan penumpang akan diumumkan melalui saluran rasmi ECRL pada pertengahan November ini.