fb fb fb fb fb

Tragedi pengeboman di Quetta : PM ucap takziah kepada rakyat Pakistan

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 9 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan takziah kepada rakyat Pakistan serta menzahirkan rasa sedih beliau terhadap insiden pengeboman ngeri di Quetta yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 orang dan menyebabkan ramai lagi cedera.

"Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada rakyat Pakistan yang meratapi kehilangan orang tersayang akibat perbuatan tidak masuk akal dan dahsyat ini," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata tindakan kejam dan ganas itu, yang menyasarkan orang awam serta anggota keselamatan, adalah peringatan jelas tentang ancaman berterusan yang dicetuskan oleh puak ekstrem dan berideologi tegar sehingga menjejaskan kemajuan serta keamanan dalam masyarakat Islam.

Anwar juga berkata Malaysia berdiri teguh dalam solidariti dengan kerajaan Pakistan bagi memerangi keganasan.

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 24 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera dalam letupan bom di stesen kereta api di Quetta yang terletak di barat daya Pakistan pada Sabtu.

Pakistan kini bergelut dengan serangan yang semakin meningkat oleh puak pemisah etnik dan militan Islam di wilayah Balochistan di barat laut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE