fb fb fb fb fb

Tragedi nahas bas UPSI : KPWKM sedia beri khidmat kaunseling

Datuk Seri Nancy Shukri ditemui pemberita selepas melancarkan Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025 di ibu negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa bersedia memberi khidmat kaunseling, susulan nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, khidmat kaunseling boleh dimulakan pada bila-bila masa, bergantung kepada kesediaan pihak yang terkesan khususnya pelajar dan keluarga mangsa.

Jelasnya, ketika ini sebarang sesi masih belum dimulakan bagi menghormati kesediaan semua yang terlibat.

"Sebenarnya, kita boleh mulakan pada bila-bila masa. Namun, kita berikan ruang terlebih dahulu kepada ahli keluarganya — sekiranya mereka sudah bersedia."

"Bagi mereka yang berada di hospital dan sedang sakit, pihak kami juga telah bersiap sedia dengan pasukan kaunselor untuk memberikan sokongan yang diperlukan."

"Baru sahaja kita berbincang semalam agar ahli keluarganya turut disantuni. Sesi kaunseling sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun kita perlu mengambil kira tahap kesediaan mereka.

"Kita tidak mahu mengganggu emosi keluarga, sebaliknya ingin memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menerima sokongan yang diberikan." ujarnya.

Datuk Seri Nancy ditemui pemberita selepas melancarkan Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025 di ibu negara.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ