fb fb fb fb fb

Tourism Malaysia tawar Pakej Durian Tourism

(Datuk Zainuddin Abdul Wahab)

GEORGE TOWN, 15 Julai- Lebih RM100,000 disasarkan Tourism Malaysia menerusi promosi diskaun 10 peratus Pakej Durian Tourism bagi wilayah Utara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata kempen yang bermula 1 Julai hingga 31 Ogos itu bertujuan untuk mempromosi durian dalam negeri-negeri terlibat.

Beliau berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, sekurang-kurangnya 500 pakej disasarkan terjual dalam tempoh kempen tersebut berjalan.

Pakej tersebut turut melibatkan elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak.

"Antara pakej yang ditawarkan ialah Pakej 2 Hari 1 Malam bermula daripada RM290 seorang dan Pakej 3 Hari 2 Malam bermula daripada RM388 seorang dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.

“Bagi merancakkannya, Tourism Malaysia turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada pembeli pakej tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Pakej Durian Tourism 2022 di sini.

Beliau berkata program itu bertujuan merancakkan semula aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik selain membantu pengusaha dusun durian malah ia juga dilihat berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

(Datuk Zainuddin Abdul Wahab (tengah) berkata kempen yang bermula 1 Julai hingga 31 Ogos itu
bertujuan untuk mempromosi durian dalam negeri-negeri terlibat)


Zainuddin berkata bagi menjayakan kempen itu, Tourism Malaysia telah menjalin kerjasama dengan lima pengusaha pelancongan dalam membangunkan pakej durian yang menggabungkan elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak.

Beliau berkata lima pengusaha itu ialah Kurma Travel and Tours Sdn Bhd, Adventure360 Tours Sdn Bhd, Time Free Vacation Sdn Bhd, M.Maha-Izah Transport and Tours Sdn Bhd dan Asia Gateway Tours.

“Maklumat lanjut berkenaan pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel,” katanya.

Media Baharu