Tokong Swee Nyet Keung simbol kepercayaan, ketahanan warisan budaya

Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 10 April – Tokong Swee Nyet Keung di Kampung Pulai di sini yang kini berusia 600 tahun, masih berdiri kukuh sebagai simbol kepercayaan dan ketahanan warisan budaya masyarakat Cina di Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tokong berfungsi sebagai tempat ibadat dan tarikan pelancongan menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa.
  • Terletak dalam gua batu kapur, menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan seni bina tradisional.
  • Kerajaan memperuntuk RM144,800 untuk kerja naik taraf termasuk baiki bumbung dan perbaharui lukisan dari tanah besar China.
  • Sambutan besar disertai ribuan masyarakat Tiong Hua, memperkukuh tradisi, amalan berpuasa sayur dan hubungan komuniti setempat.

Fungsinya bukan hanya sebagai rumah ibadat bagi penganut agama Tiong Hua, malah destinasi pelancongan unik yang menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Tokong ini dipercayai dibina oleh masyarakat Cina terawal yang menetap di kawasan tersebut pada abad ke-14.

Terletak di dalam gua batu kapur, menjadikan tokong ini luar biasa kerana menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan seni bina tradisional.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas – Datuk Mohd Syahbuddin Hashim, usaha memulihara tapak bersejarah ini sentiasa dilaksanakan pelbagai pihak termasuk kerajaan.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM144,800 bagi kerja-kerja menaik taraf tokong ini. Antara kerja yang dilaksanakan termasuk membaiki bumbung serta memperbaharui lukisan yang dibawa khas dari tanah besar China bagi mengekalkan keaslian seni dan identiti tokong tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Penubuhan Tokong Swee Nyet Keung yang ke-600 di sini.

Lebih 5,000 masyarakat Tiong Hua menghadiri majlis yang melibatkan aktiviti persembahan kebudayaan dan ritual keagamaan itu.

Salah seorang penduduk setempat, Chong Yok Fon berkata, sambutan kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini sambutan dibuat besar-besaran. Semua orang boleh datang dan menikmati hidangan. Semua juadah hanya melibatkan bahan sayur-sayuran saja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chin Qi Yao pula menyifatkan sambutan ini merupakan peluang untuk berkongsi keunikan budaya tradisi masyarakat Tiong Hua.

“Saya sangat gembira menyaksikan ramai orang hadir meraikan hari bersejarah ini. Semua datang sembahyang untuk memohon nasib baik. Kita berpuasa dengan makan sayur saja. Daging tak makan,” katanya.

Sambutan ini bukan sahaja memperlihatkan kekuatan tradisi, malah memperkukuhkan hubungan komuniti setempat.