
KUALA LUMPUR, 10 April – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan sebanyak 214 kompaun ke atas premis yang melakukan jenayah alam sekitar bagi Op Hazard 1.0, 2.0, dan 3.0.
- Op Hazard membongkar pelupusan dan pemprosesan e-waste haram serta memperketatkan penguatkuasaan di kilang dan kawasan industri terpencil.
- Op Hazard 3.0 merampas sekitar 4,714 MT e-waste bernilai lebih RM23.79 juta dan menyerbu 104 kilang di 11 negeri.
- Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memberi kuasa perundangan lebih tegas termasuk denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalaam kenyataan memaklumkan, kementerian itu melakukan operasi bersepadu melalui JAS secara berfasa di seluruh negara.
Ia menyasarkan pematuhan industri terhadap pengurusan buangan terjadual (scheduled wastes) bagi mengelakkan risiko pencemaran alam yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan ekosistem.
“Menerusi Op Hazard 1.0 yang memberi fokus kepada pengesan punca haram berjaya membongkar stor simpanan haram sisa elektronik (e-waste) di kawasan industri terpencil dan mengenalpasti rantaian pelupusan tanpa permit.
“Sebanyak 17 kompaun dikeluarkan dengan nilai RM34,000 melibatkan pelbagai kesalahan bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Nilai sabitan bawah akta ini sebanyak RM193,000,” menurut kenyataan itu.
Bagi, Op Hazard 2.0 ia diteruskan bagi mengekang pemprosesan buangan terjadual khususnya e-waste secara haram. Hasil operasi berkenaan sebanyak 69 premis diperiksa dengan 42 kertas siasatan dibuka bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Daripada jumlah itu sebanyak 75 kompaun dikeluarkan dengan nilai RM150,000. Datuk Seri Arthur berkata kejayaan itu sekali gus menunjukkan bahawa JAS bukan sahaja mengejar pelupusan haram di luar tetapi juga memastikan disiplin di dalam kilang diperketatkan.
“Menerusi Op Hazard 3.0 pula, kira-kira 4,714 MT e-waste bernilai lebih RM23.79 juta dirampas menerusi Op Hazard 3.0 yang dijalankan serentak di beberapa negeri bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram secara besar-besaran.
“Serbuan membabitkan 104 kilang di 11 negeri di seluruh Malaysia JAS mengeluarkan 101 kompaun dengan nilai RM202,000,” tambah kenyataan itu.
Beliau menegaskan bahawa sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan kertas siasatan teknikal, kepakaran JAS memastikan setiap kes pencemaran dapat dinilai dengan adil dan tepat.
Langkah itu selaras dengan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang telah diwartakan dengan hukuman yang lebih tegas termasuk denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara yang diperuntukkan bagi melindungi kelestarian alam sekitar kita dengan lebih berkesan.
Siri Op Hazard bukan sekadar operasi rutin tetapi mesej amaran kepada semua pihak. Dengan pindaan Akta 127, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kuasa perundangan lebih mantap.