fb fb fb fb fb

TMM 2026: Pemain industri perlu siap sedia, tingkat perkhidmatan- Tiong

FOTO RTM

PETALING JAYA, 9 Januari- Pemain industri pelancongan digesa supaya bersiap sedia dan meningkatkan perkhidmatan bertepatan dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, harga pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi juga perlu seiring dengan kualiti pengalaman yang diberikan kepada pelancong.

“Jangan sewenangnya menaikkan harga. Kekalkan harga, jika boleh. Jangan biarkan pelancong berasa tertipu. Jika anda mengendalikan hotel bertaraf tiga bintang, promosikan dengan sewajarnya dan sesuaikan harga dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di wilayah tengah, hari ini.

Sesi tersebut dihadiri oleh pemain industri terkemuka, persatuan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, agensi pelancongan, dan pemilik produk.

Pada majlis itu, Tiong turut menyaksikan pertukaran Sijil Kerjasama TMM2026 antara Tourism Malaysia dan 39 rakan strategik yang terdiri daripada persatuan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, dan media domestik, sebagai bukti sinergi berharga antara sektor awam dan swasta.

Jelas Tiong, MOTAC berhasrat untuk mempromosikan lebih lanjut pelbagai tawaran pelancongan Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri MOTAC Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan, Ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia dan pegawai kanan MOTAC serta Tourism Malaysia.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menyeru orang ramai agar mengelak daripada menimbulkan sebarang isu negatif yang melibatkan sentimen perkauman.

Tiong, tampil menafikan dakwaan bahawa tiada visual masjid dimasukkan dalam montaj pelancaran kempen TMM 2026 sambil sekali lagi menegaskan montaj yang digunakan pada majlis pelancaran hanyalah versi pendek dan ringkas.

Tambahnya, seni bina masjid merupakan elemen penting dalam video promosi penuh tersebut kerana ia melambangkan keindahan dan keunikan Malaysia.

Baru baru ini montaj berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Tourism Malaysia menimbulkan banyak persoalan segelintir pihak kerana tidak menampilkan sebarang visual masjid dan elemen membabitkan agama Islam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE