
PULAU TIOMAN, 2 Julai – Program TM Future Skills (TMFS) terus memperluas peranan Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam pembangunan bakat digital bermula di peringkat sekolah, sekali gus menyokong agenda transformasi digital negara.
- Fokus pembangunan holistik: gabungan pendidikan STEM, kemahiran digital dan pemupukan bakat pelayaran di empat sekolah Pulau Tioman.
- Sultan Pahang menyaksikan pameran dan demonstrasi projek pelajar termasuk robotik, teknologi hijau, reka cipta serta penyelesaian masalah STEM.
- Penyerahan simbolik peralatan luncur angin dan pembinaan laluan gelincir mengukuhkan pembangunan bakat pelayaran pelajar.
- Program menyediakan ruang pembelajaran digital, peralatan STEM dan pendedahan kepada AI, pengekodan, percetakan 3D serta robotik.
Menerusi Yayasan TM, program berkenaan memberi fokus kepada pembangunan murid secara holistik melalui gabungan pendidikan STEM, kemahiran digital serta pembangunan bakat sukan pelayaran melibatkan empat sekolah di sini, masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, SK Juara, SK Mukut dan SMK Tekek.
Baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan pameran kemajuan program TMFS yang berlangsung di sini.
Dalam lawatan itu, Baginda turut berkenan menyaksikan demonstrasi projek yang dihasilkan pelajar termasuk aplikasi robotik, teknologi hijau, reka cipta serta penyelesaian masalah berasaskan STEM.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan simbolik peralatan luncur angin sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat pelayaran dalam kalangan pelajar di pulau ini.
Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali memaklumkan pendekatan di Pulau Tioman menggabungkan pembelajaran STEM dan digital dengan kekuatan semula jadi pulau ini, termasuk pembangunan bakat cilik dalam sukan pelayaran.
“TM telah menyediakan lapan set papan luncur angin Techno 293, 60 jaket keselamatan air dan 120 pasang pakaian pasukan untuk keempat-empat sekolah, termasuk pembinaan laluan gelincir baharu di SK Mukut yang telah siap pada Mei 2026.
“Inisiatif bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar untuk menguasai kemahiran digital, malah membantu mencungkil bakat dalam bidang sukan yang berpotensi melahirkan atlet masa depan,”katanya menerusi kenyataan.
Program berkenaan turut menyediakan ruang pembelajaran digital di sekolah, selain membekalkan peralatan STEM dan komputer riba bagi membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran yang lebih interaktif dan berasaskan pengalaman sebenar.
“Kumpulan sasar turut didedahkan kepada bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, percetakan 3D dan robotik bagi memupuk minat terhadap bidang yang menjadi pemacu ekonomi masa depan,”katanya.
TM Future Skills dilaksanakan di 35 sekolah angkat di seluruh negara sebagai sebahagian usaha berterusan syarikat memperkasa pendidikan digital dan pembangunan modal insan.