
CYBERJAYA, 26 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Telekom Malaysia (TM) untuk terus menjadi pelopor dalam memacu transformasi digital negara khususnya, penerokaan bidang baharu seperti kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan pertahanan siber.
- Anwar seru TM terus pelopor memacu transformasi digital negara, terokai kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan pertahanan siber.
- TM mesti melangkaui peranan tradisi untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan berdaulat di peringkat global.
- Penswastaan perlu berpandukan prinsip MADANI, utamakan kebajikan, gaji setimpal dan kemudahan pendidikan; elak budaya selesa, kekalkan dinamisme dan komitmen kecemerlangan.
Beliau berkata, TM perlu melangkah ke era baharu melangkaui peranan tradisinya bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan berdaulat di peringkat global.
“Penswastaan di Malaysia khususnya TM tidak boleh sekadar membolot kekayaan untuk golongan atasan. Ia mesti berasaskan prinsip keprihatinan dan kewarganegaraan (MADANI) yang mengutamakan kebajikan, gaji yang setimpal, serta kemudahan pendidikan untuk anak-anak golongan pekerja di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 TM di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), di sini.
Turut hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih.
Mengulas lanjut katanya, pendedahan serta latihan dalam teknologi moden amat penting untuk memastikan modal insan tempatan bersedia meneroka bidang baharu.
“Ini bermakna anak-anak kita harus dilatih dengan pendedahan baharu kepada dunia dan disiplin baharu.
“TM bukan sekadar menjadi pengikut dalam arus ini, malah membantu kerajaan dan negara mengangkat kita dengan teknologi moden,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan pendidikan tinggi, Datuk Seri Anwar turut memuji peranan MMU milik TM yang berjaya membuktikan keupayaan badan korporat dalam mengendalikan pusat kecemerlangan akademik bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan tersebut berteraskan amalan tatakelola yang baik dan kecekapan pengurusan yang tinggi,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan seluruh tenaga kerja dan institusi pendidikan di bawah TM, agar tidak mengamalkan budaya selesa sebaliknya, mengamalkan dinamisme dan komitmen berterusan ke arah kecemerlangan demi mengangkat martabat serta darjat negara di persada antarabangsa.