fb fb fb fb fb

Tiga atlet kebangsaan antara 4,316 pelajar baharu mendaftar di UPM

Pelajar baharu UPM dibantu oleh sukarelawan kolej kediaman dalam proses pendaftaran dan penempatan pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026

SERDANG, 6 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menjadi destinasi pilihan utama pelajar dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang apabila seramai 4,316 pelajar baharu akan mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai destinasi utama pendidikan tinggi khususnya sebagai peneraju bidang pertanian dan keterjaminan makanan negara.

UPM menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 4,190 pelajar akan mendaftar di UPM Serdang, manakala 126 pelajar di UPM Sarawak.

Angka tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu 4,214 pelajar, sekali gus memperlihatkan keyakinan yang berterusan terhadap kualiti akademik UPM.

Tahun ini, UPM menerima 1,518 pelajar lelaki dan 2,798 pelajar perempuan berbanding 1,770 lelaki dan 2,444 perempuan pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini turut menyaksikan 1,319 pelajar baharu memilih bidang Agrobio dan pertanian, berbanding 1,300 tahun lalu.

Program Bachelor yang ditawarkan di UPM dalam bidang Agrobio yang berkaitan dengan pertanian merangkumi Bachelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bachelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Bachelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Bachelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian.

Seiring keperluan pasaran, UPM turut memperkenalkan program baharu seperti Bachelor Kewangan Gunaan dengan Kepujian di bawah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE).

UPM terus memperkasa kedudukan sebagai universiti mesra atlet sukan, apabila menjadi pilihan 74 atlet negara yang pernah mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa termasuk ragbi, memanah, gimnastik dan hoki.

"Antara mereka ialah atlet gimrama kebangsaan, Lai Yun Jo, yang pernah mewakili negara ke Kejohanan Remaja Dunia yang melanjutkan pengajian dalam program Bachelor Sains Komputer dengan Kepujian, atlet memanah kebangsaan ke Asian QCT, Paris 2024, Nurul Ain Fitri Ramli, yang mengikuti program Bachelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian,

"... serta atlet hoki kebangsaan ke Junior Asia Cup, Naaveennash Panicker, yang berjaya mendapat tempat dalam program Bachelor Komunikasi dengan Kepujian.

"Selain itu, pasukan pemain Projek Ragbi Kebangsaan turut ditawarkan peluang melanjutkan pengajian, dengan majoritinya menyertai program Bachelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani)", menurut kenyataan itu.

Sebagai menyahut seruan Kerajaan MADANI, UPM turut memberi peluang pendidikan inklusif kepada 1,687 pelajar daripada keluarga B40, sembilan pelajar orang asli dan 10 pelajar orang kurang upaya (OKU).


Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyantuni pelajar baharu
& ibu bapa yang hadir semasa pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2025/2026

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kemasukan pelajar baharu kali ini membuktikan bahawa UPM kekal menjadi pilihan utama generasi muda untuk membina masa depan yang cemerlang.

“Kami di UPM komited menyediakan pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus terbaik kepada setiap pelajar selaras dengan aspirasi True North universiti.

"Mereka bukan sahaja akan menerima pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga bimbingan untuk menjadi graduan holistik yang mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara serta pembangunan komuniti global,” katanya.

Pelajar baharu akan mengikuti Minggu Perkasa Putra (MPP) pada 6 hingga 12 Oktober 2025 dengan pengisian aktiviti kepimpinan, kebudayaan dan pembangunan sahsiah.

Acara kemuncak termasuk Majlis Bersama Pemimpin Negara bersama Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang pada 10 Oktober, serta Majlis Ikrar Pelajar Baharu pada 12 Oktober yang akan dihadiri Naib Canselor UPM.

UPM kekal komited melahirkan graduan berdaya saing dan inklusif yang bakal menjadi pemimpin masa depan dalam bidang kepakaran masing-masing.

ROSLINA BINTI DIN