KAMPAR, 28 April - Pemotongan gaji atau elaun terhadap pekerja yang bekerja dari rumah (BDR) adalah tidak dibenarkan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menjelaskan, Dasar gaji negara tidak membenarkan pemotongan tersebut dan perkara itu tidak seharusnya berlaku.
"Hari ini tiada halangan, majikan boleh minta mereka masuk ke pejabat. Tidak boleh mana-mana pihak kerja dari rumah tanpa persetujuan daripada majikan.
“Majikan dia membenarkan, maka tidak patutlah mereka hendak potong gaji. Kalau majikan tidak setuju dengan pekerja bekerja dari rumah, mereka boleh minta majikan datang ke pejabat. Jangan kita bagi kebenaran, kita pula potong gaji," katanya selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan raya di Kampar, di sini hari ini.
(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyampaikan sumbangan raya)
Beliau mengulas laporan mengenai Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat kewajaran pemberian gaji lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan pekerja yang bekerja dari rumah (BDR).
MEF turut melaporkan ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.