
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Kerajaan menyuarakan kecaman keras terhadap tindakan seorang individu yang didakwa memijak al-Quran dalam satu rakaman video tular, sambil menegaskan dakwaan kononnya pihak berkuasa berdiam diri adalah fitnah dan tidak berasas.
- Kerajaan mengecam keras dan tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina agama.
- Siasatan dan tindakan undang-undang sedang dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan.
- Kerajaan tekankan perlunya keharmonian antara kaum, larangan tindakan sendiri dan hormat terhadap agama Persekutuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi kenyataan menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan menghina agama.
Tegasnya, tindakan tersebut dipandang serius kerana ia bukan sahaja mencabar sensitiviti umat Islam, malah boleh menggugat keharmonian negara.
Jelasnya, siasatan telah dimulakan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk.
“Kita hendaklah menghormati semua agama terutama Islam sebagai agama Persekutuan dan al-Quran sebagai kitab suci.
“Tindakan pelajar universiti yang sepatutnya intelektual itu dilakukan secara emosi dan bertujuan menghina.
“Saya berharap selepas hukuman dikenakan, insiden ini tidak akan berulang dan pengajaran sesuai diberikan kepada pelaku,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneruskan siasatan lanjut bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan kes individu yang didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial.
Tindakan itu diambil selepas siasatan awal polis dijalankan berhubung penularan kandungan di media sosial yang memaparkan perbuatan berkenaan.
MCMC turut memberi amaran bahawa penyebaran kandungan menghina agama boleh dikenakan tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan merujuknya kepada TPR.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Manakala suspek masih direman bagi membantu siasatan.
Sehingga semalam, polis menerima 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes berkenaan.
Kerajaan sekali lagi menegaskan komitmen untuk mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Rakyat diminta tidak mengambil tindakan sendiri dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan.