fb fb fb fb fb

Tiada kompromi isu ugutan video palsu AI - Datuk Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 September- Kerajaan mengambil serius ancaman berunsur ugutan video palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang diterima beberapa wakil rakyat sejak kebelakangan ini.

Tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam kenyataan di Facebooknya, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.

Beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah tersebut yang menghantar e-mel melalui aplikasi Gmail.

"Emel tersebut mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak AS$100,000 dolar," kata Datuk Fahmi di Facebooknya.

Tambahnya, beliau turut menjadi mangsa bersama lapan lagi wakil rakyat yang lain termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

"Kerajaan menegaskan bahawa menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali," tambah kenyataan itu.

Selain itu, tindakan itu juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua (2) tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tegas Datuk Fahmi, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM