Tiada kenaikan cukai taksiran kediaman, lima tahun akan datang

Foto BERNAMA

Seremban, 10 Ogos – Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak menaikkan cukai taksiran kediaman bagi tempoh lima tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dicapai menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
  • Langkah itu sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional dalam PRN Negeri Sembilan ke-16.
  • Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri pada 18 Ogos untuk angkat sumpah ADUN, lantik Speaker dan bentang belanjawan tambahan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada isnin.

Katanya, sebelum ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang membuat kajian untuk kenaikan cukai yang sepatutnya dijadualkan Januari atau Julai tetapi memutuskan tidak akan ada kenaikan cukai berkenaan.

“Satu pengumuman untuk rakyat Negeri Sembilan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk tidak menaikkan cukai pintu kediaman untuk lima tahun yang akan datang.

“Cukai pintu tetap ada tetapi tidak akan ada kenaikan untuk tempoh lima tahun. Ini adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diadakan pada 18 Ogos ini.

Persidangan berkenaan turut melibatkan upacara mengangkat sumpah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pelantikan Yang Dipertua DUN (Speaker) dan Timbalannya selain membentangkan belanjawan tambahan bagi menampung beberapa keperluan kewangan negeri.

“Pada hari ini merupakan hari pertama kita mengadakan mesyuarat, Exco Kerajaan Negeri bagi sesi ini.

“kita telah berbincang dan memutuskan tentang tarikh persidangan khas Dewan Undangan Negeri, yang akan menyaksikan semua Ahli Yang Berhormat mengangkat sumpah. Persidangan tersebut akan diadakan pada 18 Ogos ini.

“Pada masa yang sama, kita juga akan menamakan dan melantik seorang Speaker serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.