
MELAKA, 12 Jun – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan Zakat TH bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3.155 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAINM).
- TH memperuntuk RM1.065 juta untuk pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah di Melaka.
- Program termasuk Iqra’ IPTA di UTeM, Program Afiat 50 katil mekanikal, Iqra’ Sekolah Angkat Madani, Ehsan Raya dan inisiatif TH Cares.
- Sumbangan memberi manfaat kepada 2,770 asnaf di Melaka; Program Zakat Wakalah menyalurkan bantuan kepada lebih 726,000 asnaf negara tahun lalu.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang mewakili Zakat Melaka.
Bagi tahun 2025, TH telah memperuntuk sebanyak RM1.065 juta bagi pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah di Melaka.
Antaranya adalah Program Iqra’ TH IPTA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Program Afiat yang menyediakan 50 katil mekanikal di beberapa hospital di negeri itu, Program Iqra’ Sekolah Angkat Madani, Program Ehsan Raya serta inisiatif TH Cares.
“Sumbangan tersebut telah memberi manfaat kepada 2,770 asnaf di negeri berkenaan,” menurut TH dalam satu kenyataan.
Melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf di seluruh negara telah disalurkan tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad.
Sehingga 31 Mei lepas, TH mempunyai seramai 397,624 pendeposit di Melaka dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM3.12 bilion.