SEPANG, 1 Disember - Seramai 121 orang warga Malaysia yang terkandas di bandar Laukkaing, utara Myanmar disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata kesemua mereka tiba pada 3.40 pagi dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas Air Asia AK9106 dari Kunming, China.
Kesemua mangsa terdiri daripada 107 lelaki dan 14 orang wanita.
"Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah berjaya menyelaras misi evakuasi ini dengan baik melalui sempadan negara Myanmar-China bermula pada pagi 30 November dengan kerjasama dan kelulusan dari negara-negara yang terlibat.
"Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof,dengan kedua-dua Naib Premier China, Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi Fadillah ke Republik Rakyat China pada 16 November yang lalu," menurut beliau pada sidang media selepas menyambut ketibaan kesemua mangsa di KLIA pagi tadi.
Dalam pada itu, katanya kerajaan juga turut membawa pulang seorang warga Indonesia dari Laukkaing setelah menerima permohonan rasmi dari Kerajaan Republik Indonesia.
Mohamad berkata kesemua warga Malaysia yang terkandas telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan negara China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming.
"Ini termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.
"KLN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib di negara Myanmar dan Kerajaan Republik Rakyat China serta agensi-agensi Kerajaan Malaysia dan pihak persendirian yang terlibat secara langsung atau tidak atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.
Warga Malaysia yang terkandas di wilayah bergolak itu terdiri daripada Sarawak 54 orang; Perak (22); Kuala Lumpur (10); Pulau Pinang (8); Pahang (7); Johor (7); Negeri Sembilan (4); Selangor (4); Terengganu (2); Kedah (1); Kelantan (1) dan Melaka (1).
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemerdagangan manusia, tiga rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air
30 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA
Tertipu dengan sindiket penipuan kerja, 7 rakyat Johor selamat tiba di tanah air