fb fb fb fb fb

30 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA

SEPANG, 28 April- Seramai 30 rakyat Malaysia dari Sudan yang dibawa pulang melalui Ops Sudan oleh kerajaan Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kesemua rakyat Malaysia tiba di KLIA pada pukul 3.00 petang tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, wakil-wakil agensi terlibat dan juga ahli keluarga masing-masing.

Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil dan isteri antara yang pulang bersama-sama kakitangan kedutaan, pelajar-pelajar dan pegawai GLC yg berkhidmat di sana.

Usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari Sudan bermula sejak 1 Syawal lagi dengan kerjasama agensi kerajaan di bawah Pasukan Khas Ops Sudan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri meliputi MKN, NADMA, JPM, PDRM, Pejabat Perwakilan Malaysia di Khartoum, Riyadh, Jeddah, Abu Dhabi dan Kaherah.

(Foto fail)

Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum berjaya mengeluarkan 30 warga Malaysia bersama-sama 22 rakyat negara lain.

Evakuasi dibuat melalui jalan darat seterusnya di bawa ke Port Sudan menaiki kapal H.M.S Abha milik tentera Arab Saudi menuju ke King Faisal Naval Base, Jeddah. 

Media Baharu