fb fb fb fb fb

Strok haba: Kerajaan koordinasi kerjasama negeri dan agensi bantu rakyat

(FOTO RTM)

PONTIAN, 28 April-Kerajaan Persekutuan, menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, akan memantau dan membantu rakyat yang terkesan dengan perubahan cuaca, terutamanya strok haba.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan terdapat dua kes kematian di Kelantan, disebabkan strok haba.

Katanya, langkah tersebut akan melibatkan kerjasama Kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, turut menasihatkan rakyat yang terkesan haba panas, untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Saya dimaklumkan oleh MET, Jabatan Meteorological, bahawa panas ini akan berakhir pada pertengahan bulan Mei.

"Jadi saya harap walaupun ini satu fenomena baharu, tapi kita perlu berjaga Jaga, dan mengambil beberapa langkah kesihatan", katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Benut, di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan telah mengadakan perbincangan di peringkat negeri berkaitan pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional juga menjelaskan rundingan kerusi perlu ditentukan antara dua parti gabungan dan bukannya di antara parti-parti komponen.

Menurutnya lagi, keputusan agihan kerusi akan dibawa kepada peringkat tertinggi bagi dimuktamadkan.

"Semua keputusan yang dibawa dalam enam negeri ini, akan dibawa ke peringkat tertinggi dimana kita akan terus membincangkan tentang kerusi yang sesuai untuk ditandingi", katanya.

Februari lalu, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.



(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

Media Baharu