fb fb fb fb fb

Garis Panduan Hiburan: JAKIM cadang selaras untuk semua negeri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/ FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 1 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar  berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berbincang dan membuat penyelarasan berkaitan garis panduan penganjuran program hiburan di negara ini.

Menurut Na'im perkara tersebut akan dibincangkan bersama-sama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). 

"Garis panduan ini nanti tentunya akan menerima pandangan mereka yang pakar daripada sudut hukum.

"Kita berharap agar garis panduan ini nanti diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan kita berharap tiada lagi pelanggaran garis panduan pada masa akan datang", katanya yang ditemui  selepas menghadiri Majlis Ilmu Madani siri ke-3 di sini.

Dalam pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada beberapa keluarga dan pelajar warga Palestin yang tinggal di sekitar ibu negara bagi meringankan beban mereka.

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan sebuah konsert yang dianjurkan sebuah kuil di Bachok, Kelantan; dikatakan melanggar syarat permit kerana menampilkan penyanyi wanita bersama penari berpakaian seksi dalam konsert berkenaan.

Susulan itu, pihak penganjur konsert berkenaan telah disiasat pihak berkuasa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD