PUTRAJAYA, 30 November- Pemantauan berkala akan terus dilakukan oleh penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan kelestarian air sungai di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata mengikut status kualiti air sungai pada tahun 2022, sebanyak 29 sungai dalam kategori tercemar.
"Data-data berkaitan perlu dimaklumkan kepada orang ramai supaya mereka mengambil perhatian dan serius dalam mengawal pencemaran dan menjaga kualiti air sungai", katanya demikian selepas program Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pempengaruh dan Pengamal Media di sini.
Tambah Wan Abdul Latiff, pemantauan sepanjang tahun akan dilakukan untuk melihat kualiti air sungai serta punca pencemaran berdasarkan bacaan parameter.