SEPANG, 26 Oktober- Tiga mangsa pemerdagangan manusia bagi sindiket Macau Scam di Peru, selamat tiba di Malaysia hari ini.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata baki 37 mangsa akan dibawa pulang secara berperingkat bermula 28 Oktober ini.
Bagaimanpun, tiga lagi mangsa warganegara Malaysia masih ditahan pihak berkuasa republik itu bagi proses siasatan lanjut.
"Ini adalah kumpulan pertama yang tiba, daripada jumlah keseluruhan seramai 43 orang. Mereka semua akan dibawa balik ke Malaysia tetapi dalam beberapa penerbangan berasingan. Hari ini, tiga orang dahulu kemudian pada 28 Oktober hingga 1 November."
"Kita akan teruskan jalinan kerjasama ini di semua pejabat perwakilan kita di seluruh dunia, di mana ada kes-kes seperti ini mudah untuk kita mengesan dan akhirnya menyelamatkan," kata Mohamad kepada pemberita dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada untuk menerima sebarang tawaran perkerjaan terutama melalui media sosial.
Terdahulu, seramai 43 orang rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa penyeludupan berjaya diselamatkan pihak polis Republik Peru dalam serbuan di sekitar kota raya Lima.
Mangsa membabitkan 26 orang wanita dan 17 orang lelaki berusia antara 20an hingga 30an.