fb fb fb fb fb

Kerajaan naikkan kadar ESH mulai tahun depan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Oktober- Kerajaan akan menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaannya bermula tahun depan, dengan anggaran pertambahan implikasi kewangan sebanyak RM30.78 juta.

Insentif itu akan memberi manfaat kepada 24,729 pelajar yang sedang atau akan ditaja melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata kadar ESH akan dinaikkan 15 peratus kepada pelajar Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) sedia ada dan baharu di dalam atau luar negara serta di bawah Program MyBrainScience.

"Kenaikan kadar ESH sebanyak 15 peratus kepada pelajar Sarjana dan PhD di luar negara bawah program MyBrain ini.

Kedua, adalah kadar ESH pelajar sedia ada dan baru di United Kingdom diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan memandangkan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan-kawasan yang berkaitan," kata Khaled kepada pemberita, hari ini.

KPT akan turut menaikkan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program penajaan dalam negara, termasuk mereka yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara sebanyak RM100 sebulan.

Insentif itu membabitkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang Institut Pengajian Tinggi (IPT), Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0.

KPT turut menyeragam ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda adalah RM730, Ijazah Sarjana RM800 dan PhD sebanyak RM1,000 namun tidak melibatkan program MyBrainScience.

Turut dinaikkan, sebanyak RM100 sebulan adalah ESH atau Elaun Wang Saku yang diperluaskan kepada pelajar B40 termasuk Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti serta OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM