KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Majlis Raja-Raja zahir penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah kerana memikul tanggungjawab sebagai payung negara dengan penuh amanah, bijaksana dan cukup sempurna.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menyifatkan kejayaan Al-Sultan Abdullah bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik negara, malah dalam menyantuni rakyat.
Demikian perutusan Sultan Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara, hari ini.
Mengimbas kembali semasa pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika situasi mencabar dunia dilanda pandemik COVID-19, baginda telah berjaya menyelesaikan beberapa masalah termasuk pergolakan politik negara dengan kebijaksanaan baginda berunding dengan para pemimpin politik serta Majlis Raja-Raja.
Selain itu, program Kembara Borneo yang diadakan baru-baru ini berjaya mendekatkan hubungan raja dengan rakyat sekali gus meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah mengumumkan bakal menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari 2024.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbolik semata-mata sebaliknya menjadi pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan memerintah negara dengan empat orang perdana menteri serta empat jemaah menteri yang berbeza.