PUTRAJAYA, 26 Oktober- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan 500 penerima biasiswa bagi Program MyBrain 2.0 setiap tahun, bermula tahun hadapan.
Biasiswa itu membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun, yang memanfaatkan individu tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah IPTS bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia juga diperkukuh menerusi aspek cakupan dan pelaksanaannya termasuk pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan oleh penerima biasiswa.
"MyBrain 2.0 ialah untuk program-program pasca siswazah, untuk orang ramai yang belum ada kerja dan sebagainya. Satu aspek daripada pelaksanaan MyBrain 2.0 ini, kita bersedia untuk lakukan pemadanan pembiayaan dengan pihak swasta dengan industri," kata Khaled kepada pemberita, hari ini.
KPT turut menambah baik inisiatif kepada pelajar sejak ia mula diperkenal pada 2011 dengan membenarkan pelajar memilih tempat pengajian di IPTA dan IPTS dan pemberian elaun sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan sepanjang pengajian.
Langkah itu dilaksana seiring memastikan pelajar tajaan berjaya menamatkan program berkenaan.