fb fb fb fb fb

Malaysia lancar perpustakaan digital kesihatan pertama berkaitan kanser

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni / Foto Fail Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Perpustakaan digital kesihatan pertama Malaysia, yang dinamakan sebagai Beauty (Bringing Education And Understanding To You) and Health Digital Library for Health Promotion and Health Screening Portal, dilancarkan secara rasmi pada Khamis bersama-sama 44 video dan 48 buku kecil dengan maklumat komprehensif mengenai kanser.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perpustakaan digital itu memiliki konsep asas yang wajar dipuji terutama dalam menyebarkan maklumat secara inklusif berkaitan kanser kepada orang ramai.

"Membincangkan isu kanser adalah sesuatu yang mencabar dan memberi kesan terhadap emosi untuk kebanyakan orang khususnya dalam konteks Malaysia di mana penyakit itu masih dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran perpustakaan digital itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Tambah Lukanisman, perpustakaan tersebut boleh membantu ahli keluarga mengenai kepentingan pengesanan awal gejala kanser kerana rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa.

Katanya, inisiatif itu dijangka mampu mendidik orang rama mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan seluruh ahli keluarga serta teman rapat.

"Projek Beauty and Health, yang menggabungkan pusat kecantikan dan salun rambut, tampil sebagai langkah bijak untuk mendekati khalayak lebih luas, inisiatif ini bertujuan memulakan perbualan mengenai kesihatan termasuk pencegahannya, dalam mewujudkan topik perbincangan yang lazimnya dianggap tidak konvensional," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN