fb fb fb fb fb

Ops Patuh Bersepadu: JPJ keluar 122,208 notis pelbagai kesalahan

Anggota JPJ melakukan Ops Patuh di Tol Senawang, malam tadi.

SEREMBAN, 1 Disember- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 122,208 notis kepada pemandu tidak mematuhi syarat dan peraturan serta memandu kenderaan secara tidak selamat, khususnya menjadi punca utama kepada kemalangan maut menerusi Ops Patuh Bersepadu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata operasi tersebut dilaksanakan selama 29 hari bermula 1 November dengan memeriksa 719,766 kenderaan.

“Antaranya tertinggi direkodkan adalah kesalahan tenikal (28,192) seperti tayar botak, pengubahsuaian kenderaan motosikal, tiada CDL (28,039), lesen kenderaan motor tamat tempoh (20,537) dan lain-lain kesalahan,” katanya pada sidang media Ops Patuh di Tol Senawang di sini, malam tadi.

Lokman berkata kesalahan tersebut dikesan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Tambahnya, JPJ mendapati tahap pematuhan di bawah akta tersebut berada pada tahap masih rendah (25 peratus jumlah kesalahan dikesan berdasarkan kenderaan diperiksa).

JPJ katanya turut mengesan tiga peratus kesalahan yang melibatkan tingkah laku pemandu, antara tertinggi direkodkan adalah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 1,388 dan melanggar lampu isyarat merah (791) yang merupakan punca utama menyebabkan kemalangan maut.

"Bagi kenderaan motosikal pula, 612 tidak memakai helmet semasa memandu, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan sebagainya. Mereka masih mengamalkan sikap sambil lewa," katanya,

JPJ turut mengeluarkan notis kepada 5,811 pemandu warga asing yang dikesan memandu kenderaan tanpa lesen.

Dalam pada itu, sebanyak 2,360 dikenakan mata demerit di bawah Sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dan daripada jumlah tersebut 1,966 pemegang lesen dikenakan amaran, bagi tempoh Januari sehingga Oktober ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI