fb fb fb fb fb

Tertipu dengan sindiket penipuan kerja, 7 rakyat Johor selamat tiba di tanah air

JOHOR BAHRU, 30 Oktober- Tujuh rakyat Johor yang terkandas di Kemboja, gara-gara ditipu sindiket pekerjaan, selamat tiba di Johor Bahru pagi tadi.

Dua daripadanya disambut ahli keluarga ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), tengah malam tadi manakala empat lagi dibawa terus ke Johor Bahru oleh kenderaan yang disediakan kerajaan negeri.

Seorang lagi mangsa, masih menjalani siasatan dengan pihak polis.

Menurut mangsa, Mohamad Shahrizan Mohamad Fadzil, 34, beliau bersama seorang lagi rakan diperkenalkan dengan seorang ejen rakyat tempatan kira-kira lima bulan lalu, dengan tawaran kerja sebagai pelayan di sebuah pusat perjudian dan dibayar AS$1,100.

Namun setibanya di Phnom Penh, Shahrizan bersama beberapa rakyat Malaysia yang lain dibawa ke sebuah kampung untuk bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian dipercayai beroperasi dari Taiwan dan hanya dibayar sekitar AS$400 hingga AS$500 sahaja.

Rancangan untuk melarikan diri bersama rakan-rakan lain telah direncana sebulan yang lalu, sebelum dihubungi pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk mengatur strategi.

"Ada satu pelan, konon nak gunting rambut. Masa itu baru kita orang larikan diri tapi masa itu MHO dan GASO sudah tunggu.

Telefon selepas balik kerja, kami boleh pegang. Jadi, kami berhubung dengan pihak MHO sewaktu pulang bekerja," kata Shahrizan kepada RTM.


(Mangsa sindiket penipuan kerja, Mohamad Shahrizan Mohamad Fadzil, 34 menjelaskan
perkara tersebut dalam sidang media pagi tadi)

Mangsa-mangsa yang dibawa pulang ialah Salwani Yusof, 30 tahun, Mohamad Shahrizan Mohamad Fadzil, 34, Muhammad Syafiq A. Razak, 24 dan Muhammad Ammerul Suffian Mohd Sam, 29 tahun.

Sementara itu, EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM15,000 bagi membantu membawa pulang ketujuh-tujuh mangsa ke tanah air.

Beliau mengingatkan belia Johor untuk mengambil peluang mengisi kira-kira 31,000 peluang pekerjaan yang terdapat di negeri ini, dan tidak mengambil risiko terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

"Saya harap mangsa-mangsa ini belajar dengan pengalaman ini. Kerajaan Johor amat memahami kehendak belia Johor. Saya akan pantau mereka, ketujuh-tujuh tersebut untuk memastikan mereka mendapat pekerjaan dan mencari peluang pekerjaan di bawah Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI)," kata Hairi kepada RTM.

Sebelum ini tular mengenai berita rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja selepas ditipu sindiket pekerjaan dengan tawaran kerja di pusat perjudian, sebelum dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian yang menyasarkan rakyat negara ini.

 

Media Baharu