fb fb fb fb fb

Terima wang daripada warga UK, tiga anggota polis trafik ditahan

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 30 Januari- Tiga anggota polis trafik daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ditahan bagi membantu siasatan susulan video tular tindakan anggota trafik menerima wang daripada warganegara United Kingdom. 

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi kenyataan berkata, kesemua ditahan berumur antara 37 hingga 42 tahun.

Kes disiasat bawah Seksyen 384 kanun keseksaan, Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan kes telah diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah dilengkapkan.

Selain itu, siasatan dalaman juga turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. 

Sebelum ini satu video tular di media sosial mengenai tindakan anggota trrafik menahan pasangan pelancong warganegara United Kingdom dan menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan berjumlah RM100 di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland.

Dalam perkembangan sama pihak polis turut menyeru agar mangsa terlibat tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis agar siasatan dapat dilengkapkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI