Tengku Mahkota Pahang antara 40 graduan terima Sayap Penerbangan TUDM

BERNAMA

ALOR SETAR, 15 Ogos — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Sayap Penerbangan TUDM kepada paduka anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta 39 graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap diadakan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Kolonel Yang Dipertua TUDM.
  • Kumpulan graduan terdiri daripada 38 Juruterbang Muda dan dua Jurusensor Senjata-Pejuang daripada ketiga-tiga cabang ATM.
  • Tengku Mahkota jadi kerabat diraja pertama yang menjalani Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara.
  • Leftenan Ahmad Faiz Roslan dipilih Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Putar; Leftenan Safwan Lukman Miswanto Graduan Terbaik Sayap Kaku.

Al-Sultan Abdullah, yang juga Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengurniakan anugerah berkenaan pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Nur Hafis Abdul Karim.

Keseluruhan graduan berkenaan terdiri daripada 38 Juruterbang Muda dan dua Jurusensor Senjata-Pejuang daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Istiadat berkenaan turut melakar sejarah apabila Tengku Mahkota Pahang menjadi kerabat diraja pertama yang menjalani Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara menerusi Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67(A)/26.

Baginda menjalani kursus itu dari 2 Jun hingga 31 Julai 2026 dengan menggunakan helikopter EC120B Colibri.

Sepanjang tempoh latihan, Tengku Hassanal berjaya menyempurnakan dan lulus dengan cemerlang beberapa penilaian penerbangan, termasuk Basic Handling Test (BHT), Instrument Flying Test (IFT), Final Navigation Test (FNT) dan Final Handling Test (FHT).

Kejayaan menamatkan keseluruhan latihan berkenaan melayakkan baginda menerima Sayap Penerbangan TUDM.

Dalam pada itu, Leftenan Ahmad Faiz Roslan dipilih sebagai Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Putar dan menerima Piala Panglima Tentera Udara.

Bagi kategori Sayap Kaku pula, Leftenan Safwan Lukman Miswanto dipilih sebagai Graduan Terbaik Keseluruhan dan turut menerima Piala Panglima Tentera Udara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.