9 kawasan di Sarawak rekod bacaan IPU tidak sihat

Keadaan jerebu di Sarawak

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Sebanyak sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 11.00 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawasan Kuching, Samarahan, Serian, Bintulu, Sarikei, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Samalaju catat bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
  • Asap jerebu berpunca daripada pergerakan Kalimantan, Sumatera dan titik panas tempatan menurut laporan satelit ASMC dan NOAA.
  • JAS tingkatkan penguatkuasaan dan rondaan; Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan Jerebu diaktifkan; pemilik tanah dinasihat cegah pembakaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan memaklumkan, kawasan berkenaan melibatkan di Kuching (164), Samarahan (161), IPD Serian (160), Bintulu (157) dan Sarikei (157).

Kawasan Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU 153, Sibu (152), Mukah (151) serta Samalaju (118). Sementara itu, 11 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 48 kawasan berada pada tahap sederhana.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat hanya melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah.

“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 14 Ogos 2026, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 226 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan, lima kawasan berisiko dikesan di Sumatera dan tujuh lagi dikesan di dalam negara iaitu lima di Sarawak dan dua di Sabah.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian t di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri, selain mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.