fb fb fb fb fb

TEKUN Nasional jalin kerjasama dengan AKPK perkukuh sistem kutipan pinjaman

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan

KUALA LUMPUR, 13 November - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan menjalin kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memperkukuh sistem kutipan pinjaman serta memastikan dana pusingan dapat dimanfaatkan untuk membantu usahawan baharu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata melalui kerjasama ini, akaun berstatus pinjaman tidak berbayar (NPL) akan dapat disusun semula menerusi program pengurusan kredit AKPK.

Langkah tersebut akan membantu peminjam mikro menstabilkan kedudukan kewangan, sekali gus membolehkan mereka meneruskan pembayaran pinjaman dengan lebih teratur.

"Setelah dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kami berjaya menurunkan kadar Non-Performing Loan (NPL) dan non-collection TEKUN Nasional kepada angka satu digit buat pertama kalinya.

"Bagi strategi jangka panjang, kami turut melaksanakan strategi pembiayaan mampan, iaitu dana kutipan digunakan sebagai dana pusingan (revolving fund) untuk memastikan kesinambungan bantuan kepada usahawan.

"Selain itu, kami juga memperluaskan kumpulan sasaran, termasuk usahawan daripada golongan asnaf, TVET dan pelbagai kategori usahawan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) di Dewan Rakyat.

Tambahnya, selain melalui sistem AKPK, akaun peminjam yang mempunyai status pinjaman tidak berbayar turut dilaporkan kepada biro kredit seperti Experian dan CTOS.

Langkah ini bertujuan memastikan pemantauan dapat dilakukan secara berterusan serta membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

ROSLINA BINTI DIN