Teknologi satelit boya berpotensi kurangkan kos operasi nelayan

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil / Foto BERNAMA

PASIR PUTEH, 23 Ogos – Penggunaan teknologi satelit boya berpotensi membantu nelayan mengenal pasti lubuk ikan dengan lebih tepat, sekali gus mengurangkan kos operasi terutama penggunaan bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek rintis satelit boya dilaksanakan di perairan Labuan sejak tahun lalu.
  • Maklum balas awal nelayan positif, membantu kenal pasti kawasan potensi tangkapan.
  • LKIM berharap peruntukan tambahan bagi menempatkan lebih banyak satelit boya.
  • Satelit boya dipamerkan di MAHA 2026 bersama Simulator Bot dan Perkampungan Nelayan Meranti.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, teknologi itu ketika ini masih di peringkat projek rintis dan hanya dilaksanakan di perairan Labuan sejak tahun lalu.

Menurutnya, maklum balas awal daripada nelayan adalah positif, khususnya dalam membantu mereka mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk aktiviti penangkapan ikan.

“Mereka biasanya berkonsepkan memburu’. Konsep ini memerlukan mereka mencari lubuk ikan secara konvensional dan itulah yang melibatkan kos minyak yang banyak.

“Tapi dengan penggunaan teknologi mengenal pasti lubuk-lubuk ikan ini, ia dapat mengurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesra MADANI bersama nelayan Semerak di Pelabuhan Perikanan LKIM, Tok Bali, di sini.

Muhammad Faiz berkata, LKIM berharap peruntukan tambahan dapat disediakan bagi membolehkan lebih banyak satelit boya ditempatkan di kawasan perairan lain.

Terdahulu pada majlis sama, seramai 26 nelayan dalam kategori B40 di bawah Persatuan Nelayan Kawasan Semerak menerima bantuan peralatan penangkapan ikan.

Antara peralatan yang diserahkan ialah enjin bot 40 kuasa kuda, pukat, tong fiber dan minyak 2T bagi membantu meningkatkan kecekapan serta kelangsungan aktiviti ekonomi mereka di laut.

Dalam pada itu, teknologi satelit boya turut diketengahkan sebagai antara tarikan LKIM sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, selain Simulator Bot dan Perkampungan Nelayan Meranti.

Pengisian itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai teknologi baharu yang digunakan LKIM ketika ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.