fb fb fb fb fb

Teknologi Hidrogen: Sarawak miliki tenaga yang sesuai

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni (tengah)

MIRI, 18 Januari - Sarawak memiliki tenaga yang sesuai untuk menghasilkan teknologi yang berasaskan hidrogen, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Menurut beliau, mana-mana negara di dunia ini boleh menghasilkan hidrogen tetapi yang membezakan Sarawak adalah penggunaan tenaga untuk membelah hidrogen. 

"Sarawak mempunyai tenaga hidro hijau manakala negara lain perlu menggunakan bahan api fosil, tenaga nukleur dan sebagainya.

"Terdapat perbezaan hidrogen yang ada daripada negara, namun hidrogen yang dihasilkan di Sarawak adalah hidrogen yang bersifatkan hijau dan premium," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian International Conference for Green Energy, Computing, and Sustainable Technology 2024 dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Curtin Malaysia dan Sarawak Energy Berhad (SEB) semalam.

Jelasnya, Sarawak amat memfokuskan kepada industri hidrogen untuk bergerak ke hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan majlis MoU antara Curtin University Malaysia dengan SEB untuk kerjasama meluas antaranya dalam bidang akademik, penyelidikan, penglibatan alumni, program pertukaran, inkubasi permulaan dan biasiswa

Selain itu, turut dirasmikan pelancaran program Kejuruteraan Tenaga dan Kejuruteraan Mekatronik baharu setelah kedua-dua program ini menerima akreditasi sementara daripada Majlis Akreditasi Kejuruteraan sebagai Ijazah kejuruteraan yang diiktiraf industri untuk ditawarkan di Curtin Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN