fb fb fb fb fb

Taufan Gaemi: Malaysia Airlines batal penerbangan MH366, MH367

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Malaysia Airlines membatalkan penerbangan MH366 dari Kuala Lumpur ke Taipei dan penerbangan MH367 dari Taipei ke Kuala Lumpur hari ini susulan cuaca buruk yang disebabkan oleh Taufan Gaemi.

"Penumpang terjejas yang ingin menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui 'My Booking' di laman sesawang kami,'' menurut syarikat penerbangan negara itu dalam kenyataan hari ini.

Secara alternatif, kenyataan itu memaklumkan penumpang boleh ke Sembang Langsung di laman sesawang berkenaan atau menghubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines.

"Keselamatan penumpang dan kru adalah keutamaan Malaysia Airlines," menurut kenyataan itu.

Agensi Meteorologi Taiwan telah mengeluarkan amaran laut dan darat bagi Taufan Gaemi, yang dijangka mendarat di Daerah Yilan antara lewat malam Rabu dan awal pagi Khamis.

Agensi itu meminta penduduk yang tinggal di sepanjang sungai supaya sentiasa berwaspada manakala ahli meteorologi meramalkan ribut petir di kebanyakan kawasan dalam tempoh beberapa hari akan datang. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN