KUALA LUMPUR, 22 November- Dua wakil Malaysia dalam acara beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan Masters China 2024 di Shenzhen, China selepas menumbangkan lawan masing-masing hari ini.
Paling mencuri tumpuan ialah aksi Tang Jie-Ee Wei yang mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan pasangan tuan rumah Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui pada aksi berlangsung di Gimnasium Shenzhen itu.
Pada aksi suku akhir itu, pasangan negara bermula langkah kiri apabila tewas di set pertama 14-21.
Ketika perlawanan seolah-olah berpihak kepada gandingan China yang mendahului set kedua 20-11, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi luar biasa untuk kembali mengikat kedudukan 20-20 sebelum menang 23-21, sekali gus membawa permainan ke set penentuan.
Kemenangan set kedua itu seolah-olah memberi tonik buat pasangan negara apabila menang set penentuan 21-16, seterusnya mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Perjuangan Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun dilihat masih berliku apabila bakal bertemu pilihan pertama kejohanan negara tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam saingan separuh akhir pada Sabtu.
Yan Zhe-Dong Ping mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan gandingan Taiwan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-13, 21-13.
Sementara itu, Pang Ron-Su Yin yang mudah mengetepikan pasangan Taiwan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui 21-10, 21-16 akan membuat perhitungan menentang beregu nombor tujuh dunia dari Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet.- BERNAMA