fb fb fb fb fb

Tanah rizab Kelantan belum diteroka sepenuhnya, berpotensi dibangunkan

Rafizi Ramli

KOTA BHARU, 17 November- Kelantan mempunyai kelebihan kerana memiliki rizab tanah belum diterokai selain berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber kepada pemangkin perkembangan ekonomi negeri itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, berikutan kawasan perindustrian berskala besar terutama berasaskan pertanian boleh dibangunkan bagi menarik pelaburan masuk ke Kelantan.
 
Rafizi memaklumkan perkara itu berikutan tidak semua negeri memiliki aset seperti Kelantan, kerana kekangan pembangunan pesat khususnya negeri–negeri di sebelah pantai barat.

"Tanah di sebelah pantai barat tidak mempunyai keluasan tanah yang mencukupi untuk pembangunan, jadi sekiranya ingin membangunkan sesuatu ia melibatkan kos yang tinggi. Ia sedikit menyukarkan.

"Di Kelantan aset pertama ialah tanah. Jadi pembangunan mesti menggunakan aset yang ada untuk dijadikan sebagai kawasan perindustrian. Sekiranya kawasan berkenaan dimanfaatkan, Kelantan mempunyai kekuatan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Orang Awam, Penggiat Industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini.
 
Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, Rafizi percaya sekiranya ia mampu direalisasikan dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang Kelantan diyakini akan wewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri makanan dan pertanian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI