
JOHOR BAHRU, 14 November – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menjadi graduan pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q), di sini hari ini.
- Penyelidikan memanfaatkan lebih tiga dekad pengalaman perkhidmatan awam untuk menilai pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam di peringkat agensi.
- Menggabungkan kajian tindakan dengan pendekatan reka bentuk dan pembangunan menghasilkan panduan serta instrumen pelaksanaan ARPA untuk agensi.
- Komitmen berterusan meskipun memikul tanggungjawab besar; pengalaman perkhidmatan dijadikan sumber penyelidikan bagi penambahbaikan perkhidmatan awam.
Beliau menerima ijazah berkenaan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 selepas menamatkan pengajian di Azman Hashim International Business School (AHIBS), UTM.
Menerusi penyelidikannya, Tan Sri Shamsul Azri memanfaatkan pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam untuk meneliti bagaimana agenda reformasi kerajaan dapat dilaksanakan di peringkat agensi.
Beliau memulakan pengajian pada semester Oktober 2024 dengan melengkapkan portfolio dan menjalani lawatan pengesahan di lapangan. Pada semester Mac 2025, beliau lulus ujian cabaran sebelum meneruskan penyelidikan bagi menyediakan disertasi.
Sepanjang tempoh penyelidikan, Tan Sri Shamsul Azri mengikuti empat kursus berpandu meliputi penyelidikan perniagaan lanjutan, amalan penyelidikan dan kelestarian perniagaan.
Cadangan penyelidikan dengan pembetulan yang dibentangkan pada penghujung 2025 lulus, sebelum memperoleh gred A dan penilaian Merit dalam viva voce pada 30 Ogos lalu.
Meski berdepan cabaran dalam memenuhi untutan tugas sebagai KSN, beliau tetap komited mengikuti pengajian dengan menghadiri kelas dan sesi penyeliaan, selain mengikuti rakaman kuliah apabila berkelapangan serta membentangkan perkembangan penyelidikan.
Segala maklum balas yang diterima sepanjang proses berkenaan turut dimanfaatkan bagi menambah baik dan memantapkan disertasi yang dihasilkan.
Kajian Tan Sri Shamsul Azri memberi tumpuan kepada penilaian dan pengesahan model Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di Malaysia.
Pengalaman berkhidmat di Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pentadbiran negeri membantu beliau meneliti bagaimana keputusan dasar diterjemahkan kepada tindakan, bagaimana agensi menyelaras pelaksanaan dan bagaimana kemajuannya dipantau.
Pengalaman luas dalam bidang pentadbiran sebelum ini dimanfaatkan sebagai asas penyelidikan bagi membangunkan pendekatan lebih sistematik dalam melaksanakan model berkenaan.
Menerusi penyelidikan itu, Tan Sri Shamsul Azri menggabungkan kaedah kajian tindakan dengan pendekatan reka bentuk dan pembangunan bagi menghasilkan panduan serta instrumen pelaksanaan ARPA.
Inisiatif itu bertujuan membantu agensi kerajaan merangka strategi perubahan berdasarkan keperluan organisasi masing-masing, selain menyediakan mekanisme untuk memantau pencapaian dan menilai keberkesanan pelaksanaan.
Dapatan pemantauan berkenaan turut boleh dijadikan rujukan oleh agensi bagi mengenal pasti keperluan penambahbaikan serta menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Pendekatan berkenaan membolehkan pelaksanaan reformasi dibuat secara lebih fleksibel dengan mengambil kira cabaran dan keadaan sebenar yang dihadapi setiap agensi.
Pencapaian itu turut membuktikan bahawa pengalaman dalam perkhidmatan awam boleh dikembangkan sebagai bidang penyelidikan akademik yang berupaya menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Malah, perjalanan akademik beliau memperlihatkan bahawa komitmen terhadap pembelajaran dan pembangunan ilmu boleh diteruskan meskipun seseorang memegang tanggungjawab besar dalam pentadbiran.
Pengalaman sepanjang kerjaya juga berpotensi dijadikan sumber penyelidikan bagi menghasilkan pendekatan baharu yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.