
MANILA, 14 November – Malaysia mencadangkan penubuhan Dana Jerebu Mampan sebagai langkah memperkukuh usaha ASEAN menangani masalah pencemaran jerebu rentas sempadan.
- Cadangan bagi memastikan tindakan serantau lebih terancang dan berkesan menangani isu jerebu rentas sempadan.
- Mengemukakan pendekatan Diplomasi Sains untuk memperkukuh kerjasama serta penyelarasan antara negara ASEAN.
- Menghargai komitmen Indonesia membendung kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera.
- Menggesa percepat ratifikasi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Jerebu Rentas Sempadan untuk tingkatkan kesiapsiagaan dan lindungi kesihatan awam.
Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tindakan serantau yang lebih terancang dan berkesan dalam menangani isu berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia turut mencadangkan pendekatan Diplomasi Sains bagi memperkukuh kerjasama serta penyelarasan tindakan antara negara ASEAN.
Pada masa sama, beliau menghargai komitmen Indonesia dalam membendung kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dan Sumatera.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), di sini, hari ini.
Menurutnya, Malaysia turut menggesa negara anggota ASEAN mempercepat proses ratifikasi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Jerebu Rentas Sempadan.
Langkah itu penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan serantau serta memastikan kualiti udara dan kesihatan rakyat di rantau ini terus terpelihara.