fb fb fb fb fb

Tahap keselamatan di premis bazar ramadan, masyarakat main peranan

Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian mengunjungi bazar ramadan di Emart Batu Kawa

KUCHING,12 Mac- Tanggungjawab dalam menjamin tahap kebersihan di premis-premis bazar ramadan bukan hanya terletak pada pihak kerajaan tempatan, pemilik premis dan para penjaja makanan, malah juga masyarakat umum yang mengunjungi premis-premis tersebut.

Menurut Timbalan Premier, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kualiti kebersihan bazar ramadan di Sarawak telah menunjukkan tahap yang memuaskan.

Namun, beliau meyakinkan orang awam bahawa, pihak daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama Pegawai Kesihatan Awam daripada majlis-majlis tempatan akan terus berkerjasama dalam memantau serta memastikan setiap premis bazar berada dalam keadaan yang bersih dan selamat.

Selain itu, beliau juga menggesa agar golongan penjaja dan juga para pengunjung untuk sentiasa menjaga kesihatan bersihan diri dan premis bagi mencegah kes keracunan makanan, terutamanya menjelang musim perayaan ini.

Tambahnya, bazar ramadan khususnya di Sarawak ini merupakan aktiviti yang amat unik dan penting dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang sama-sama memeriahkan setiap musim perayaan di negeri ini.

Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian berkata demikian selepas mengunjungi bazar ramadan di Emart Batu Kawa, diiringi oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.

Dalam pada itu, Tan Kai juga memberitahu bahawa terdapat 7 buah bazar ramadan yang kini beroperasi di kawasan seliaan MPP, manakala seramai 24 orang pegawai kesihatan dan penguatkuasaan daripada MPP telah diarah untuk membuat pemantauan ke setiap lokasi bagi menjamin tahap kesihatan dan keselamatan orang ramai.

ROSLINA BINTI DIN